Wednesday, March 24, 2010

Tambah elaun guru

BOTA - Kementerian Pelajaran sedang mengkaji menambah elaun guru di 300 buah sekolah di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas melihat kesukaran mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, apabila merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah beliau merasakan elaun berkenaan perlu dikaji semula.

Menurutnya, pada masa ini kementerian membayar elaun guru di pedalaman sebanyak RM500, RM1,000 dan RM1,500 mengikut kategori kawasan.

“Kajian sedang dijalankan oleh pihak kementerian dan bakal diumumkan sedikit masa lagi tetapi kita tidak pasti jumlah yang bakal mereka perolehi, tetapi kadar elaun itu akan melibatkan lebih banyak kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Sekolah-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaakob di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim,Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria; Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Jabbar dan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah, Mokhtar Mat Dris.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika melawat kawasan pedalaman di Sarawak, baru-baru ini iaitu ada guru terpaksa berjalan lebih empat jam dalam hutan tebal sebelum sampai ke sekolah.

Malah rombongannya terpaksa berjalan lebih lapan jam sebelum sampai ke sekolah.

“Rombongan kami bertolak menggunakan bot atau sampan yang bermula 6.30 pagi dan sampai ke destinasi jam 5 petang.

“Ada ahli rombongan yang tidak mampu untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dan tidur di hutan berkenaan. Saya juga melihat rumah guru begitu uzur dan guru wanita berbantalkan beg untuk tidur.

“Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing -masing. Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya.

Mohd Puad berkata, bagi tujuan itu kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan mengkaji elaun lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

“Kenaikan itu adalah sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang kekurangan daripada segala kemudahan.

“Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran memberi pendidikan kepada anak bangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama , Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Menurutnya, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual 2012.

“Langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

“Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu dan langkah untuk memulakan program berkenaan jika bahagian kurikulum KPM dan bahagian Buku Teks untuk mata pelajaran sains dan matematik dapat disiapkan sebelum akhir 2010,” katanya.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin