Thursday, March 25, 2010

P/GB cemerlang bermula dengan guru terbaik

APABILA Perdana Menteri mengumumkan bahawa meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menjadi salah satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ia menggambarkan bahawa kerajaan memandang serius terhadap pendidikan untuk semua rakyatnya.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan Ba’iah baru kepada semua pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Sekolah yang cemerlang bermula daripada kepimpinan cemerlang. Di situ terletaknya tanggungjawab pengetua dan guru besar dalam memastikan sekolah masing-masing berkembang maju dan mampu melahirkan generasi cemerlang.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan amat prihatin dan menghargai jasa kepimpinan sekolah terutama pengetua yang terbukti menerusi langkah mewujudukan jawatan Pengetua Cemerlang dalam Skim Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.

Sehingga kini, katanya, seramai 548 daripada 2,213 pengetua iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengetua di negara ini sudah dilantik ke jawatan pengetua cemerlang. Daripada jumlah itu, seramai lapan pengetua dilantik Gred JUSA C, 180 (Gred DG54) dan 360 (Gred DG52). Selain itu, kerajaan mengumumkan pertambahan kuota guru cemerlang bagi guru siswazah dan bukan siswazah sebagai dorongan untuk golongan guru.

Pada Julai tahun lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menambah bilangan jawatan pengetua dan guru besar gred Jusa C dan DG54 dalam usaha mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. KPM menambah jawatan pengetua cemerlang Jusa C daripada 10 kepada 20 jawatan dan DG54 daripada 200 kepada 435 jawatan manakala DG52 masih kekal dengan 400 jawatan.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin