Sunday, March 21, 2010

Kesediaan Penentu Keberkesananan Pembelajaran

Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain


SEBELUM guru memulakan pengajaran, mereka lazimnya bertanya kepada murid-murid sama ada mereka sudah bersedia untuk belajar atau belum. Malah perkataan bersedia digunakan dalam pelbagai situasi seperti bersedia untuk bermain, bersedia untuk berbincang, bersedia untuk diperiksa, bersedia untuk makan, bersedia untuk solat serta berbagai persediaan lagi.
Kesediaan ialah istilah yang merupakan satu bentuk proses yang melibatkan pengintegrasian aspek fizikal, mental, dan emosi (kejiwaan) seseorang insan dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Seseorang murid yang sudah bersedia untuk belajar contohnya mampu menghayati dan memahami sesuatu pelajaran dengan lebih mudah berbanding dengan murid yang masih belum bersedia di mana di akhir pembelajaran mereka akan berada dalam keadaan kekeliruan.
Justeru, murid-murid harus berada dalam keadaan bersedia di sepanjang masa agar sebarang tindakan yang bakal dilakukan nanti mencapai tujuan asalnya.
Kesediaan fizikal: Kesediaan fizikal merangkumi aspek manusia dari segi perlakuan serta tindakan, keadaan sekitar seperti kebisingan atau kekurangan peralatan atau bahan yang boleh menggugat kesediaan untuk belajar. Sebagai contoh seseorang murid yang masih berbual dengan rakan ketika guru sedang mengajar atau tidak menyediakan peralatan belajar seperti buku dan alatulis menunjukkan murid tersebut masih belum bersedia untuk belajar. Manakala keadaan kesihatan seseorang murid juga memberi kesan yang besar terhadap proses pembelajaran.
Kesediaan mental: Kesediaan mental merujuk kepada kemampuan memberi fokus, penetapan matlamat, kesanggupan dan kematangan berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian sesuatu masalah tanpa mengikut nafsu semata-mata. Seseorang murid yang bersedia dari segi mental mudah menerima pelajaran, bersifat rasional serta bijak membuat keputusan yang menguntungkan semua pihak.
Kesediaan emosi (kejiwaan): Emosi membawa pengaruh yang besar dalam sebarang tindakan. Ketenangan jiwa mampu menstabil serta mengawal diri daripada terlibat dengan perlakuan yang boleh membinasakan diri kita sendiri. Ketenangan jiwa dapat memandu murid supaya lebih fokus, yakin dan bersemangat untuk belajar. Keadaan ini membolehkan murid mendapat ilmu dengan lebih mudah serta memahami topik pembelajaran yang diajar oleh guru.

sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin