Wednesday, October 13, 2010

Model baru peperiksaan perkasa pendidikan



Perubahan format UPSR, PMR mampu lahir generasi lebih berkemahiran, berakhlak

SELEPAS tiga bulan berpolemik dan tiga rundingan meja bulat, Kementerian Pelajaran kelmarin mengumumkan tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diubah format baru, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.
Bagaimanapun, sistem penilaian baru itu hanya boleh dilaksanakan paling awal enam tahun lagi bagi mengelak pelajar dalam sistem peperiksaan sekarang dibebani dengan format baru. Ini bermakna murid yang memasuki sekolah tahun depan dijangka menduduki format baru UPSR, manakala pelaksanaan ujian baru menggantikan PMR mungkin bermula lebih lewat daripada tarikh itu. Perubahan format kedua-dua peperiksaan ini turut membabitkan perubahan kurikulum, buku dan latihan untuk guru.

“Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan, manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah. Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai,” kata Muhyiddin.

Pengumuman Muhyiddin itu melenyapkan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mahu sistem peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian pelajar terutama selepas enam tahun bersekolah dikekalkan. Peruntukan 40 peratus penilaian UPSR berdasarkan kurikulum atau sivik diharap boleh melahirkan pelajar bukan hanya dianggap cemerlang apabila mendapat markah tinggi dalam bidang akademik tetapi juga hebat bersukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Begitu juga dengan PMR, yang format barunya nanti membabitkan penilaian terhadap pencapaian pelajar dilakukan pada peringkat sekolah seperti dilaksanakan secara percubaan di 550 sekolah sejak dua tahun lalu. Dalam kata lain, selepas ini hanya ada dua peperiksaan utama iaitu UPSR pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.
Walaupun butiran terperinci mengenai format baru kedua-dua peperiksaan itu belum umumkan, yang pasti sistem persekolahan kita selepas ini tidak lagi berasaskan peperiksaan semata-mata. Penilaian berasaskan sekolah membolehkan guru menilai sebarang kegiatan sesuai yang bukan akademik untuk dilakukan pelajar, terutama aktiviti membabitkan pembinaan sahsiah, adab, akhlak dan kemahiran sosial. Dengan itu, pelajar dan guru tidak lagi menumpukan perhatian kepada peperiksaan umum, semata-mata tetapi lebih kepada proses mendidik pelajar menjadi manusia berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Begitupun, perubahan format baru kedua-dua peperiksaan ini turut memerlukan perubahan sikap serta pemikiran guru dan ibu bapa. Di pihak guru, kementerian boleh menyediakan kursus, latihan dan motivasi supaya mereka bukan saja dapat melaksanakannya dengan berkesan tetapi mampu menjadikan sistem baru ini lebih menyeronokkan pelajar.

Yang agak sukar ialah di kalangan ibu bapa kerana sejak sekian lama, ramai yang terlalu taksub untuk memastikan anak mereka mendapat straight A sehingga sanggup berbelanja beratus ringgit menghantar anak ke kelas tuisyen mulai Tahun Satu lagi. Ada kerajaan negeri yang menyediakan puluhan ribu ringgit bagi memberi ganjaran kepada murid yang mendapat 5A dalam UPSR.

Barangkali selepas ini, duit yang dibelanjakan untuk tuisyen itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sukan, karya sastera, peralatan kemahiran hidup dan pelbagai kelengkapan kokurikulum lain bagi membantu anak turut cemerlang dalam bidang itu.

Cara ini bukan saja membantu anak-anak belajar dalam suasana yang lebih menyeronokkan tanpa perlu dibebani peperiksaan tetapi melengkapkan diri mereka untuk melangkah alam pekerjaan dengan yakin serta menjadikan mereka manusia lebih berguna kepada masyarakat dan negara.

Berita Harian Online: 11 Oktober 2010

Dasar baru jadikan ICT peneraju pendidikan


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Dasar ini kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari yang menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

“Dasar ini menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang dilaksanakan pada masa depan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid,” katanya ketika melancarkan dasar itu di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pela-jaran, Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali.

Difahamkan, dasar itu dilancar berikutan kajian Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri yang melaporkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 tidak menyatakan secara khusus peranan ICT sebagai pengupaya proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
EPU turut menyifatkan pelaburan RM6.1 bilion bagi inisiatif ICT untuk tempoh 1999 hingga 2009 sebagai tidak memberikan pulangan setimpal kepada pembangunan modal insan negara.

Muhyiddin berkata, dasar itu akan menjadikan amalan di negara maju sebagai penanda aras untuk memastikan komponen ICT dalam pendidikan mampu mencapai piawaian antarabangsa.

Katanya, dengan menjadikan dasar itu sebagai rujukan, pelaksanaan semua program ICT di kementerian menjurus kepada sasaran yang sama iaitu mempertingkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Empat asas menjadi teras dasar iaitu pembangunan modal insan berterusan, penggunaan teknologi yang sesuai bagi mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan pendidikan menggunakan ICT.

Berita Harian Online: 13 Oktober 2010

LinkWithin