Sunday, March 21, 2010

SBT tanda aras kecemerlangan

MATLAMAT utama Kementerian Pelajaran ialah untuk menjadikan sekolah berprestasi tinggi (SBT) sebagai tanda aras kecemerlangan bagi dicontohi sekolah lain terutama sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata memandangkan status berprestasi tinggi akan diberikan kepada sekolah yang mencapai atau melebihi tanda aras itu, kerajaan berharap lebih banyak sekolah berusaha meningkatkan kualiti dan menjadi pilihan utama semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan, kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012.

"Status itu akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

"Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah, adalah penting untuk melahirkan pemimpin yang berprestasi tinggi di kalangan pemimpin-pemimpin sekolah.

"Guru Besar, pengetua dan pasukan kepimpinan sekolah haruslah dinamik, tekun, berdisiplin dan pakar dalam bidang mereka serta berorientasikan hasil.

"Dalam membina kecemerlangan, pemimpin sekolah mesti mengenal pasti secara spesifik cabaran yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang," katanya.

Tambah beliau, mereka ini (pemimpin sekolah) perlu mempunyai sikap sanggup menerima cabaran dan sentiasa berusaha mencari idea dan amalan baru dalam meningkatkan kualiti pengurusan sekolah dan pembelajaran.

``Tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan mencapai kecemerlangan dan kualiti sekolah juga akan menurun,'' ujarnya.



sumber maklumat : Portal pendidikan UtusaN Malaysia

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin