Wednesday, March 24, 2010

Sekolah usang akan diganti

Kementerian akan beri perhatian serius terhadap sekolah usang di negeri ini terutama di kawasan luar bandar

SADONG JAYA: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memberi perhatian serius terhadap sekolah-sekolah usang di negeri ini terutama di kawasan luar bandar untuk digantikan dengan bangunan baru pada masa akan datang.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata memang diakui banyak seko-lah terutama di kawasan-kawasan pedalaman sudah uzur dan memerlukan perhatian untuk dibangunkan semula.

Dr Puad menarik perhatian, banyak sekolah terutama sekolah-sekolah rendah masih dengan bangunan lama yang diperbuat daripada kayu dan nampaknya telah dimamah oleh anai-anai.

“Kita memang akui banyak sekolah di negeri ini yang agak usang dan memerlukan perhatian untuk dibangunkan semula agar murid-murid dapat menikmati suasana pembelajaran dan kemudahan sekolah yang selesa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Pendam selepas melawat beberapa sekolah rendah dan menengah di sini semalam.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukry, Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak Datu Dr Julaihi Bujang dan Pegawai Pelajaran Gabungan Samarahan Ishak Hashim.

Menurut Dr Puad, selain menggantikan bangunan sekolah, kerajaan juga memandang serius kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik termasuk kemudahan pembelajaran lain bagi memudahkan murid-murid belajar dengan baik.

“Semua masalah itu akan kita tangani menerusi peruntukan kewangan bagi pihak kementerian dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh,” katanya.

Dr Puad juga memberitahu bahawa sekolah-sekolah yang terbakar dan memerlukan bantuan segera untuk dibangunkan pihaknya telah menggunakan kaedah pembinaan sekolah ‘kabin’ yang dipercayai dapat digunakan dengan selesa dan cepat pembinaannya.

Beliau memberitahu, di Sarawak sebuah sekolah telah dibina menggunakan kaedah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu, Sebu-yau yang terbakar tahun lalu.

“Saya percaya pendekatan kerajaan membina sekolah ‘kabin’ dapat membantu dengan segera sekolah-sekolah yang mengalami malapetaka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin