Wednesday, March 24, 2010

Bayi didera bapa, ibu beransur pulih


ROSNAH melawat Muhammad Al-Faiz di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki empat bulan yang cedera parah dan koma dipercayai akibat didera bapa dan ibunya di rumah mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini, kini beransur pulih selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak 11 Mac lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata bayi malang itu, Mohammad Al-Faiz mengalami pendarahan dalam otak dan menjalani pembedahan di kepala sebaik dirujuk ke HKL dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada kecederaan atau penyakit lain yang dihidapi bayi itu. “Muhammad Al-Faiz yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sudah beransur pulih daripada kecederaan awal dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Dia dapat bertindak balas dengan baik dan dijangka dalam masa seminggu dua ini bantuan pernafasannya boleh dibuka dan ditempatkan di wad biasa,” katanya selepas melawat ba-
yi itu di HKL di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain; Ketua Jabatan Institut Pediatrik, Dr Hussain Iman Muhd Ismail dan Ketua Jabatan Neurosurgeri, Dr Mohd Saffari Mohd Haspani.
Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno turut meluangkan masa hampir sejam melawat pesakit kanak-kanak lain di institut berkenaan.

Ketika ditanya mengenai usaha yang akan dilakukan untuk membantu Mohammad Al- Faiz, Rosnah berkata ia bergantung kepada hasil siasatan polis.

“Apa yang penting, kita perlu menjaga kebajikan bayi ini terlebih dulu dan kita beri kepercayaan kepada polis untuk mengendalikan kes ini,” katanya.

Sementara itu, Rosnah menggesa pergerakan Puteri di seluruh negara mengambil inisiatif menjadikan wad kanak-kanak atau Institut Pediatrik di tempat mereka sebagai ‘anak angkat’ dengan menyediakan program bermanfaat secara sukarela.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin