Friday, March 26, 2010

PM UMUN 6 INISIATIF JALUR LEBAR


KUALA LUMPUR, 24 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan inisiatif-inisiatif berikut sempena pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Dataran Merdeka di sini malam ini.

1. Pelaksanaan pusat jalur lebar komuniti atas nama PJK ke rumah. Satu jalur lebar yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 orang di 246 lokasi melibatkan peruntukan RM60 juta.

2. Penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberi liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna.

3. e-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim di 1,100 mukim di seluruh negara yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.

4. Liputan selular awam di mana 873 menara baru telekomunikasi akan dibina di seluruh negara termasuk 278 menara di Sabah dan 257 menara di Sarawak.

5. Peruntukan sejumlah RM1 bilion akan digunakan daripada dana khidmat sejagat atau UPS dengan persetujuan penyedia perkhidmatan akan digunakan untuk mengagih-agihkankan komputer-komputer riba atau notebook kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu di seluruh negara.

6. Telekom Malaysia telah bersetuju untuk memperkenalkan pakej jalur lebar berserta netbook dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38 dan bagi kawasan USP, jumlah ini dikurangkan lagi kepada RM20. — Bernama

SBT


Apakah yang dimaksudkan dengan SBT? SBT ialah SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.



Sekolah yang terpilih sebagai SBT ini perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah sekolah tersebut hendaklah mempunyai pencapaian akademik yang menunjukkan trend menaik bermula dengan Take of Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam seperti UPSR dan SPM. Selain itu, pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen setaraf dengannya mestilah sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi.



Di samping itu, sekolah tersebut perlulah pernah menerima anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Syarat lain lagi ialah sekolah-sekolah tersebut pernah melahirkan personality unggul yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti. Sekolah-sekolah ini juga hendaklah menjadi penanda aras kepada sekolah lain dari dalam dan luar negara.



Syarat tambahan yang ditetapkan ialah sekolah tersebut perlulah mempunyai permuafakatan yang jitu antara masyarakat yang memberi impak kepada keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan sekolah. Sekolah-sekolah ini juga seharusnya mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah lain sama ada dalam negara atau antarabangsa menerusi pelbagai bentuk program. Syarat yang terakhir ialah sekolah tersebut itu perlu mempunyai jaringan dengan institusi pendidikan tinggi dalam atau luar negara.

14 sekolah menengah, enam sekolah rendah diumum sekolah berprestasi tinggi


PUTRAJAYA, 25 Jan — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini mengumumkan 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang terdiri daripada 14 sekolah menengah dan enam sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata daripada 14 sekolah menengah, 10 adalah sekolah berasrama penuh manakala bakinya sekolah menengah harian.

“Sekolah ini dipilih dari kalangan sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan masing-masing.

“SBT akan dibimbing dan dipantau secara khusus untuk menjamin berlaku lonjakan prestasi sekolah secara berterusan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sepuluh sekolah berasrama penuh ialah Sekolah Tun Fatimah (Johor Baharu), Sekolah Dato' Abdul Razak (Seremban), Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya), Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra).

Kolej Tunku Kurshiah (Seremban), Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang), Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis), Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) dan SMS Muzaffar Syah (Melaka). Manakala empat sekolah menengah harian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya), SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur), SMK Sultanah Asma (Alor Setar) dan SMK (P) St. George (Pulau Pinang). Enam sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL), SK Taman Tun Dr Ismail 1 (KL), SK Bukit Damansara (KL), SK Zainab (2) (Kota Baharu), SK Convent Kota (Taiping), SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Baharu).

Muhyiddin berkata SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar, sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di “padang yang sama rata” untuk diiktiraf sebagai SBT.

“Mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT dan mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian mensasarkan 30 SBT pada tahun depan dan jumlah itu akan meningkat kepada 50 pada tahun 2012.

Beliau berkata rasional pengiktirafan itu dibuat bagi mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik ke taraf dunia, menghasilkan pelajar yang cemerlang dan merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem.

SBT akan diberi autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid, katanya.

Beliau berkata dari segi kurikulum, ia fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif, mematuhi peperiksaan awam dan menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa.

Selain itu, katanya sekolah berkenaan diberi kelonggaran dalam menetapkan waktu pengajaran minima mata pelajaran, memanjangkan waktu persekolahan dan membenarkan murid menamatkan tempoh persekolahan setahun lebih awal iaitu seperti kelas lompat yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Muhyiddin berkata dari segi pemilikan bajet, kewangan disalur melalui geran secara sekaligus pada awal tahun persekolahan, fleksibiliti penuh untuk pengagihan kewangan mengikut keperluan dan pengecualian daripada perolehan secara berpusat.

“Setiap sekolah mempunyai bajet mereka sendiri, tetapi dengan status ini, mereka diberi peruntukan tambahan dan mereka boleh menggunakannya untuk apa sahaja yang mereka rasa perlu,” katanya.

Beliau berkata pengurusan staf adalah berdasarkan prestasi iaitu pengambilan staf tidak berdasarkan kekananan tetapi prestasi pencapaian, kelonggaran dalam menyediakan lebih bayaran (bayaran lebih masa) dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.

“Selain itu, kelonggaran untuk memindahkan staf sekiranya prestasi kurang memuaskan dan pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik,” katanya.

Beliau berkata laporan tahunan berdasarkan petunjuk keberhasilan setiap sekolah dan pemeriksaan sekolah berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang telah diubahsuai.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata SBT perlu memenuhi enam kriteria yang ditetapkan iaitu pencapaian akdemik yang cemerlang, melahirkan personaliti unggul, merangkul anugerah Kebangsaan dan Antarabangsa, mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.

“Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah-sekolah tempatan dan antarabangsa serta menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata antara peranan yang perlu dimainkan oleh SBT sebagai sumbangan kepada sekolah lain ialah guru-guru SBT menjadi mentor kepada guru di sekolah lain, melalui program “immersion” membabitkan pengetua, guru besar dan guru.

Bagi pembangunan berterusan sebagai status SBT, sekolah terbabit antara lain perlu meningkatkan pelan strategik, pengurusan, program akademik dan kokurikulum sokongan serta menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah lain dari dalam dan luar negara.

Muhyiddin berkata sekolah dari pedalaman dan luar bandar juga boleh dipilih sebagai SBT jika ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Saya tahu tidak mungkin semua 10,000 sekolah (di seluruh negara) akan naik ke tahap itu, tetapi tidak kira sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman jika mereka boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan akan direkod sebagai SBT.

“Tetapi jika sekolah luar bandar dan pedalaman ada kekangan kerana kemudahan belum setara dan setanding, jangka panjangnya kita akan terus perbaiki,” katanya. — Bernama

Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi


SEKALUNG tahniah harus diberikan kepada 20 pengetua dan guru besar bersama pasukan kakitangan sekolah kerana berjaya menyenaraikan sekolah mereka sebagai kumpulan pertama dinobatkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negara ini.

Dengan kesungguhan dan kerja kuat tersebut, pasukan pentadbiran serta kakitangan sekolah diberikan kuasa autonomi terhadap banyak perkara, termasuk soal pengajaran dan pembelajaran.

Sememangnya suatu usaha yang berbaloi dengan keringat dan pemikiran yang berusaha keras mencapai tahap yang amat membanggakan itu. Semua ini adalah demi kemajuan pendidikan generasi bangsa Malaysia yang akan datang.

Walaupun usaha murni ini merupakan satu langkah yang amat baik, timbul pula beberapa kebimbangan serta persoalan terhadap kuasa autonomi yang boleh dianggap besar terhadap pengurusan sekolah.

Sudah pasti, semua pengetua dan guru besar di negara ini mengimpikan status yang berprestij ini. Bagi mereka yang telah dinobatkan akan sedaya mungkin mempertahankan mahkota yang dianugerah oleh kementerian.

Bagi mempertahankan gelaran tersebut sudah pasti beberapa formula dibuat oleh pihak sekolah sendiri. Antara perkara yang dikhuatiri ialah kuasa autonomi ini membuatkan sekolah tidak dapat dikawal oleh pejabat pelajaran negeri atau daerah.

Kebebasan mentadbir, urusan kewangan serta kaedah pembelajaran menjadikan pengetua punya kuasa mutlak ke atas semua urusan.

Selain itu, prestasi pelajar juga merupakan perkara yang paling penting dalam menentukan kompetensi prestasi sekolah. Adalah dikhuatiri dengan status autonomi ini SBT akan mengenakan syarat tambahan serta perkara yang tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar.

Jika ini yang berlaku sudah pasti pelajar yang lemah atau kurang cemerlang akan dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT meskipun sekolah itu merupakan sekolah harian yang sepatutnya pelajar itu bersekolah.

Secara tidak langsung, hak pelajar tersebut telah dinafikan dan hilanglah amalan demokrasi pendidikan. Sekali gus dasar pendidikan negara tidak dapat disuburkan dengan sempurna.

Seperkara lagi, jika tidak dikawal dengan sempurna SBT akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis Melayu.

Ini kerana kuasa autonomi yang diberikan merupakan lesen yang besar kepada pengetua dan guru besar untuk menentukan perbelanjaan persekolahan bagi yang bersekolah di SBT.

Sudah pasti bermacam-macam yuran perlu dibayar oleh ibu bapa pelajar untuk memasti prestij sekolah berkenaan terjaga dan terus unggul di tempatnya.

Jika pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, sudah pasti tanggungan pembiayaan sekolah tidak mampu disara oleh keluarga berkenaan.

Akhirnya, akan berlaku keciciran atas alasan ketidakupayaan menyekolahkan anak kerana biaya yang tinggi.

Dalam situasi hari ini juga sudah terdapat keluarga yang tidak mampu menyekolahkan anak kerana tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persekolahan yang saban tahun meningkat.

Oleh yang demikian, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak meminta Kementerian Pelajaran meneliti semula bidang kuasa autonomi yang diberikan kepada semua SBT.

Penilaian menyeluruh adalah perlu bagi memberikan manfaat yang sewajarnya kepada semua pelajar di samping tidak mengetepikan soal kemajuan dan kebajikan pelajar Melayu.

Ini bukan bermakna pelajar Melayu kini tidak mampu bersaing atau berjuang menuju kecemerlangan.

Tetapi sebagai masyarakat majoriti di negara ini serta 'tuan' yang diuar-uarkan, sedikit keistimewaan dan kelebihan adalah perlu untuk memastikan kelangsungan demokrasi pendidikan disuburkan di negara ini serta falsafah pendidikan negara tercapai dengan jayanya.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Exco GPMS Perak

Utusan Malaysia Online: 22 Februari 2010

FIKRAH bertarikh 1 - 4 Mac - BAHAGIAN TAJAAN KPM ’SEMBELIH’ GURU


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Kecewa, Sungai Petani, Kedah” dalam ruangan Respons dalm akhbar FIKRAH bertarikh 1 - 4 Mac (Bahagian Tajaan KPM ’sembelih’ guru).

Untuk makluman penulis, Penangguhan beberapa program latihan guru di KPM dibuat dengan mengambilkira semua aspek termasuklah perancangan yang teliti bagi memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara terkawal dan telus. Penangguhan program-program ini tidak menafikan hak guru-guru untuk memperbaiki tahap profesionalisma mereka. Walaupun program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) ditangguhkan, KPM telah melaksanakan program baru iaitu Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) kepada semua guru untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Kedoktoran dan Sarjana. Ini bagi memberi peluang kepada guru-guru yang layak melanjutkan pegajian ke peringkat lebih tinggi. Selain itu juga, KPM masih melaksanakan program sedia ada yang diperuntukkan kepada guru-guru seluruh Malaysia. Program-program ini bukan hanya dilaksanakan oleh Bahagian Tajaan Pendidikan sahaja, malah oleh Bahagian-bahagian lain yang terlibat.

Sebagai makluman, penangguhan beberapa program di bawah Bahagian Tajaan Pendidikan KPM adalah bersifat sementara sahaja. Program-program ini akan dilaksanakan semula setelah mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan KPM pada masa yang akan datang.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Peruntukan Tambahan RM700,000 Untuk Sekolah Berprestasi Tinggi


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 kepada setiap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi meningkatkan keupayaan sekolah melaksanakan program lonjakan prestasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan tambahan itu boleh digunakan untuk tujuan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) selain pengukuhan bidang kebitaraan sekolah serta pembiayaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum murid.

Beliau berkata peruntukan itu akan diberikan secara sekaligus kepada 20 buah sekolah terbabit dalam masa terdekat dan perbelanjaan adalah tertakluk kepada peraturan kewangan sedia ada bagi menjamin akauntabiliti.

"Sekolah-sekolah memang ada peruntukan setiap tahun, oleh kerana mereka berjaya sampai ke peringkat SBT, kita bagi tambahan RM700,000 lagi yang boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan guru, latihan dan lain-lain itu terserah kepada sekolah terbabit.

"Apa pun ada peraturan kewangan yang ditetapkan dan tidak boleh belanja sesuka hati. Peruntukan itu perlu dibelanjakan untuk apa yang mereka perlu bagi meningkatkan prestasi sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan SBT Kementerian Pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.

Sebanyak 20 pengetua dan guru besar SBT menerima watikah pengiktirafan masing-masing.

Isnin lalu, beliau yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 20 SBT iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor; SMK Sultanah Asma, Alor Star, Kedah; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur; SMK (P) St George, Pulau Pinang; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan; Kolej Melayu Kuala Kangsar; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah; Kolej Tunku Kurshiah, Seremban Negeri Sembilan; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tunku Syed Putra, Perlis; Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan SMS Muzaffar Syah, Melaka.

Sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur; SK Zainab (2) Kota Bharu, Kelantan; SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur; SK Convent Kota, Taiping, Perak; SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan pengetua dan guru besar sekolah-sekolah terbabit bagi menjelaskan pelaksanaan SBT serta bidang-bidang yang sesuai supaya sekolah terbabit terus mengekalkan status mereka.

Beliau mahu sekolah yang tidak terpilih dalam kelompok sekolah cemerlang itu supaya tidak kecewa kerana kaedah pemilihan SBT adalah berterusan dan kesemua sekolah mempunyai peluang untuk disenaraikan sebagai SBT kerana bilangannya tidak dihadkan.

"Ini adalah kali pertama SBT akan menjadi model untuk semua sekolah sampai ke tahap itu. Mungkin selepas ini, kita akan hubungkan pengetua dan guru besar SBT dengan pengetua sekolah yang belum sampai tahap itu atau mereka akan datang tengok sendiri P&P sekolah ini sehingga mereka boleh mencapai tahap SBT," jelas beliau.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, kementerian akan mengeluarkan senarai kedudukan sekolah yang tidak tersenarai sebagai SBT tidak lama lagi.

Katanya, kesemua sekolah perlu meningkatkan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

"Kita akan umumkan kedudukan semua sekolah yang mana sekolah itu ada kelebihan dan kekurangan. Sekolah rendah kita akan umumkan hujung Februari ini dan sekolah menengah kemudiannya untuk mereka ketahui di mana kedudukan sekolah mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin ketika mengulas mengenai autonomi yang diberi kepada 20 SBT terbabit berkata, kesemua sekolah berkenaan tertakluk di bawah polisi pendidikan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Malah kata beliau, setiap sekolah di bawah kementerian tidak boleh melakukan perkara yang bercanggah dengan dasar pendidikan, termasuk pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuh pada tahun 2012.

"Dasar yang kita umumkan kekal tidak bermakna kita akan mengubah dasar PPSMI balik semula. Dasar tetap dasar, apa pun pembaharuan, transformasi, perubahan atau penambahbaikan mesti bersandarkan kepada dasar yang telah pun diumum," katanya

Thursday, March 25, 2010

ANUGERAH CEMERLANG KELAS PERTAMA


Kerajaan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan menyediakan Anugerah Cemerlang kepada graduan-graduan yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa dengan cemerlang dan memperolehi Kelas Pertama dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Universiti Luar Negara. Bagi IPTS dan Universiti Luar Negara perlulah di iktiraf oleh Kerajaan ( Jabatan Perkhidmatan Awam ). Penganugerahan ini tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:-

1. Institut Pengajian Tinggi Awam - berkuatkuasa bermula pada tahun 2006.

2. Institut Pengajian Tinggi Swasta / Universiti Luar Negara - berkuatkuasa bermula pada tahun 2008.

Bagi IPTS tempatan, hanya dianugerahkan kepada Universiti-universiti dimana syarikatnya dimiliki oleh kerajaan seperti :-

i.) UNITEN

ii.) MMU

iii.) Telekom

iv.) Petronas

v.) Majlis Amanah Rakyat Mara

Graduan -graduan yang lulus sebelum tarikh kuatkuasa tersebut adalah tidak layak dipertimbangkan.

sumber: Yayasan Negeri Sembilan

P/GB cemerlang bermula dengan guru terbaik

APABILA Perdana Menteri mengumumkan bahawa meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menjadi salah satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ia menggambarkan bahawa kerajaan memandang serius terhadap pendidikan untuk semua rakyatnya.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan Ba’iah baru kepada semua pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Sekolah yang cemerlang bermula daripada kepimpinan cemerlang. Di situ terletaknya tanggungjawab pengetua dan guru besar dalam memastikan sekolah masing-masing berkembang maju dan mampu melahirkan generasi cemerlang.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan amat prihatin dan menghargai jasa kepimpinan sekolah terutama pengetua yang terbukti menerusi langkah mewujudukan jawatan Pengetua Cemerlang dalam Skim Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.

Sehingga kini, katanya, seramai 548 daripada 2,213 pengetua iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengetua di negara ini sudah dilantik ke jawatan pengetua cemerlang. Daripada jumlah itu, seramai lapan pengetua dilantik Gred JUSA C, 180 (Gred DG54) dan 360 (Gred DG52). Selain itu, kerajaan mengumumkan pertambahan kuota guru cemerlang bagi guru siswazah dan bukan siswazah sebagai dorongan untuk golongan guru.

Pada Julai tahun lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menambah bilangan jawatan pengetua dan guru besar gred Jusa C dan DG54 dalam usaha mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. KPM menambah jawatan pengetua cemerlang Jusa C daripada 10 kepada 20 jawatan dan DG54 daripada 200 kepada 435 jawatan manakala DG52 masih kekal dengan 400 jawatan.

BaHaYa FAceBooK - The Dark Side of Facebook


Secara sedar atau tidak bahawa FaceBook ini sebenarnya amat merbahaya... Jika korang memberi data sebenar dalam facebook ni berhati-hatilah... Maklumat korang dalam Facebook adalah hak milik Facebook... walaupun gambar dah dibuang maklumat dah ditukar tapi dalam main server .. ni tok ambik dari internet.. lu orang fikirlah sendiri..

Sebenarnya, ada sebahagian “dark side” yang tidak diketahui oleh berjuta pengguna internet di dunia ini mengenai Facebook. Ini adalah satu konspirasi teori yang telahpun menjadi fakta benar dan apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah “lihat” dan “terus melihat”. Jika ada di antara kita yang telah meletakkan butir-butir peribadi sebenar di dalam Facebook, maknanya tiada apa lagi yang kita boleh lakukan.
Sedarkah kita siapa sebenarnya di belakang Facebook? Sedarkah kita bahawa semua data-data yang kita berikan itu telahpun disimpan oleh pihak CIA?

Mereka boleh mengakses semua mengenai kita dan dengan mudah mendapat semua butir-butir diri tanpa perlu bertanya kepada kita, bos kita, kawan-kawan kita, pihak universiti kita, keluarga kita dan banyak lagi sumber at anytime they want! Dan yang lebih menyedihkan lagi, ramai dari kita terutamanya rakyat Malaysia sudahpun
memberikan 100% info dan butir-butir diri mereka dengan TEPAT.
Apabila ditanya, mereka dengan mudah menjawab, “nanti kalau member lama atau member sekolah ingin mencari kita, senang sikit!”

Malang sekali bukan itu yang berlaku.

Dalam pada keghairahan yang kita sendiri wujudkan terhadap Facebook, kita sedikitpun tidak membaca dasar ataupun polisi yang Facebook letak di dalam laman web mereka. Yang kita tahu hanyalah PERCUMA dan sikap ramah dan jujur kita itulah yang boleh memakan diri kita sendiri sebenarnya.

Mari kita lihat apakah yang Facebook nyatakan mengenai butir-butir peribadi yang kita sendiri masukkan dalam account Facebook kita.

Cuba bayangkan!

Facebook yang telah menjadi kegilaan pengguna internet adalah tempat yang paling mudah untuk CIA mendapatkan data peribadi mereka dengan PERCUMA. Bagi pengguna kebanyakan (mereka yang bukan extreme), mungkin ia tidak akan membawa keuntungan kepada pihak CIA tetapi bagi mereka yang mempunyai “title” sebagai “professional” seperti seorang doktor, peguam, PROFESSOR, scientist dan yang seumpamanya… inilah MANGSA CIA yang sebenarnya.

Mengapa?

Kerana sama ada kita percaya atau tidak, ramai golongan professional yang meletakkan segala butir-butir mengenai diri mereka dengan lengkap bagai nak rak dengan alasan mereka mempunyai kawan di seluruh dunia dan masing-masing tidak mahu “kalah” dalam menceritakan semua kejayaan dan kegiatan yang telah mereka kecapi.
Bukankah itu semua adalah PRIVACY diri sendiri?

Pernahkah kita/mereka fikirkan mengenai RISIKO yang mereka letakkan ke atas diri mereka sendiri?

- Habis semua data mengenai aktiviti dimasukkan.

- Habis semua data mengenai achievement diri dimasukkan.

- Address, hometown, phone number, clubs, jobs, rekod pendidikan, interests, daily schedule, habis diberikan begitu sahaja. Itu semua akan disimpan oleh pihak CIA sebagai data yang boleh dijadikan statistik untuk kegunaan mereka pada masa hadapan. Malah, maklumat mengenai keluarga juga dimasukkan dengan selamba.

Kita marah bila orang mengambil tahu hal kita.

Kita marah bila orang mencungkil privacy kita.

Tapi kita tidak sedar yang kita telah “berikan” semuanya di dalam Facebook kita! Ikut percakapan kasar orang di warung kopi, bunyinya memang menarik. Ini dialognya: Esok kalau katakan mereka hendak menyerang Malaysia, mereka sudahpun tahu dimanakah golongan bijak pandai di Malaysia ini berada/tinggal. Sebelum dia serang, mereka akan bunuh dahulu golongan bijak pandai ini…. tiada apa yang tinggal.
Bukankah semua info yang mereka perlukan sudahpun ada dalam tangan mereka?

Facebook best!
Face book nombor 1 sekarang !!!
Memang betul.

Itu memang satu fakta. Tiada siapapun boleh menafikannya.

Dan ini juga adalah satu fakta:

Facebook telah di tampung sebanyak USD500,000 oleh bekas CEO Paypal, Peter Thiel. Jadi tiada masalah untuk mempromosikannya. Tidak cukup dengan itu, sebanyak USD12.7 juta telah dilaburkan ke dalam Facebook oleh James Breyer dari Accel Partners. Mereka semuanya ada agenda yang mereka sendiri faham. Jika kamu hendak tahu siapakah mereka semua ini dan siapakah DALANG di sebalik laman web sosial ini, kamu harus memberikan fokus yang sepenuhnya pada slide flash video yang akan kamu lihat sebentar lagi. Mainkannya berulang-ulang dan cuba fahamkan.

Satu lagi, pihak CIA sendiri menggunakan Facebook group to untuk merekrut staffnya bagi program kesayangan mereka iaitu National Clandestine Service. Malah, Dr Anita Jones juga telah menjadi sebahagian dari Dark Side ini. Dr Anita Jones adalah Defence Research and Engineering Director untuk US Department of Defence.

Bagi aku, bersosial di laman web seperti Facebook ini tidaklah salah. Malah bagus kerana silap haribulan, boleh buat duit lagi. Tapi berhati-hatilah dengan semua privasi diri sendiri. Jangan sesekali memberikan maklumat penting. Palsukan semua maklumat yang dirasakan tinggi privasinya. Maklumlah.. rakyat Malaysia inikan cepat terpengaruh. Apalagi dengan benda PERCUMA sebegini.

Bukan hendak mengata diri sendiri, tetapi ini telahpun terbukti. Kalau tidak percaya, pergilah di Fotopages dan lihat siapakah pengguna terbesar Fotopages kelolaan rakyat Israel tu…! Jawapannya adalah rakyat Malaysia.
Tidak syak lagi…Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang?

Jawapannya mudah. Bagi mereka yang pernah memasukkan data privasi mereka, senyum sahajalah. Bagi mereka yang belum dan baru nak mendaftar, berhati-hati. Itu sahaja.

Wednesday, March 24, 2010

Tambah elaun guru

BOTA - Kementerian Pelajaran sedang mengkaji menambah elaun guru di 300 buah sekolah di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas melihat kesukaran mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, apabila merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah beliau merasakan elaun berkenaan perlu dikaji semula.

Menurutnya, pada masa ini kementerian membayar elaun guru di pedalaman sebanyak RM500, RM1,000 dan RM1,500 mengikut kategori kawasan.

“Kajian sedang dijalankan oleh pihak kementerian dan bakal diumumkan sedikit masa lagi tetapi kita tidak pasti jumlah yang bakal mereka perolehi, tetapi kadar elaun itu akan melibatkan lebih banyak kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Sekolah-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaakob di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim,Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria; Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Jabbar dan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah, Mokhtar Mat Dris.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika melawat kawasan pedalaman di Sarawak, baru-baru ini iaitu ada guru terpaksa berjalan lebih empat jam dalam hutan tebal sebelum sampai ke sekolah.

Malah rombongannya terpaksa berjalan lebih lapan jam sebelum sampai ke sekolah.

“Rombongan kami bertolak menggunakan bot atau sampan yang bermula 6.30 pagi dan sampai ke destinasi jam 5 petang.

“Ada ahli rombongan yang tidak mampu untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dan tidur di hutan berkenaan. Saya juga melihat rumah guru begitu uzur dan guru wanita berbantalkan beg untuk tidur.

“Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing -masing. Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya.

Mohd Puad berkata, bagi tujuan itu kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan mengkaji elaun lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

“Kenaikan itu adalah sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang kekurangan daripada segala kemudahan.

“Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran memberi pendidikan kepada anak bangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama , Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Menurutnya, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual 2012.

“Langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

“Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu dan langkah untuk memulakan program berkenaan jika bahagian kurikulum KPM dan bahagian Buku Teks untuk mata pelajaran sains dan matematik dapat disiapkan sebelum akhir 2010,” katanya.

Kementerian tambah elaun guru pedalaman

Posted on 31 Mei, 2009 by admin
Oleh Roselan Ab Malek

KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.

Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.

Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.

”Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa,” katanya.

“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.

Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.

”Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.

“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.

Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.

Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

”Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.

Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.

Sumber: Berita Harian (29 Mei 2009

Usah tolak peluang mengajar di pedalaman

SAYA antara guru yang pernah mengajar di pedalaman mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi atas keprihatinan beliau melawat sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Terpanggil dengan kaedah beliau gunakan untuk mengunjungi sekolah yang jauh dari pusat bandar atau pekan dengan meredah hutan, sungai hinggakan terbaring di atas rumput kepenatan, mengingatkan kembali saya ketika baru ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Daerah Beluran, Sabah pada akhir Disember 1994.
Saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kabulu, Paitan dan untuk sampai ke sekolah itu, saya terpaksa mengharungi laut selama 14 jam menggunakan bot nelayan kerana pada masa itu untuk menyewa bot laju memang di luar kemampuan, berbeza dengan membayar tambang hanya RM15 jika menaiki bot nelayan. Sekolah itu hanya boleh dihubungkan melalui jalan utama iaitu laut oleh penduduk setempat yang rata-rata di kalangan etnik sungai untuk keluar masuk berurusan sama ada di pekan Beluran atau Sandakan.

Ketika guru dari Semenanjung sampai di Sabah, kami menjalani kursus seminggu di Kota Kinabalu dan di situlah kami diberitahu lokasi sekolah yang akan ditempatkan.

Saya bersama empat rakan yang ditempatkan di beberapa sekolah pedalaman, terpaksa tidur hampir tiga minggu di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Beluran kerana tidak boleh masuk ke sekolah masing-masing akibat musim tengkujuh dan laut berombak besar.

Di situlah saya mengenali pentingnya bekalan elektrik dan air bersih kerana selama dua tahun mengajar di sana, hanya generator yang dihidupkan sehingga jam 9 malam.
Jika tidak rosak dan untuk memperoleh air untuk di minum, saya terpaksa menadah air hujan dengan membuat takungan di depan rumah.

Cuma sedikit nasihat kepada bakal guru yang diberi peluang mengajar di sekolah seperti ini agar jangan menolak dan gunakan peluang sekali seumur hidup untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang tidak akan kita peroleh di tempat lain seperti di Semenanjung.

Gunakan setiap saat ketika berada di pedalaman dengan aktiviti bermanfaat misalnya bersukan dan memancing agar kita sentiasa aktif kerana ini satu daripada cara untuk melupakan yang kita berjauhan dengan keluarga dan segala kemudahan seperti tersedia di bandar.

Sentiasa mengamalkan hidup bermasyarakat di tempat seperti ini kerana penduduk akan bangga jika dapat berbakti kepada guru yang mengajar di pedalaman, lebih-lebih lagi mendidik anak mereka.

Selagi ada manusia di tempat itu, selagi itulah kita selamat dan segala pengorbanan amat besar nilainya. Anggaplah kesukaran sebagai cabaran dan saya percaya kawasan seperti di Kabulu, Paitan sekarang lebih baik berbanding sekitar 1990-an.

Akhir kata, kepada bakal guru yang ditempatkan di sekolah seperti ini sentiasa fokus dengan misi dan jauhkan sikap hanya mementingkan diri kerana tidak semua memperoleh peluang seperti ini dan mereka yang terpilih sebenarnya adalah guru cemerlang.

FENDYN9,
Selangor.
Khamis , 25 Mac 2010
SUMBER: BERITA HARIAN

Sekolah usang akan diganti

Kementerian akan beri perhatian serius terhadap sekolah usang di negeri ini terutama di kawasan luar bandar

SADONG JAYA: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memberi perhatian serius terhadap sekolah-sekolah usang di negeri ini terutama di kawasan luar bandar untuk digantikan dengan bangunan baru pada masa akan datang.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata memang diakui banyak seko-lah terutama di kawasan-kawasan pedalaman sudah uzur dan memerlukan perhatian untuk dibangunkan semula.

Dr Puad menarik perhatian, banyak sekolah terutama sekolah-sekolah rendah masih dengan bangunan lama yang diperbuat daripada kayu dan nampaknya telah dimamah oleh anai-anai.

“Kita memang akui banyak sekolah di negeri ini yang agak usang dan memerlukan perhatian untuk dibangunkan semula agar murid-murid dapat menikmati suasana pembelajaran dan kemudahan sekolah yang selesa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Pendam selepas melawat beberapa sekolah rendah dan menengah di sini semalam.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukry, Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak Datu Dr Julaihi Bujang dan Pegawai Pelajaran Gabungan Samarahan Ishak Hashim.

Menurut Dr Puad, selain menggantikan bangunan sekolah, kerajaan juga memandang serius kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik termasuk kemudahan pembelajaran lain bagi memudahkan murid-murid belajar dengan baik.

“Semua masalah itu akan kita tangani menerusi peruntukan kewangan bagi pihak kementerian dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh,” katanya.

Dr Puad juga memberitahu bahawa sekolah-sekolah yang terbakar dan memerlukan bantuan segera untuk dibangunkan pihaknya telah menggunakan kaedah pembinaan sekolah ‘kabin’ yang dipercayai dapat digunakan dengan selesa dan cepat pembinaannya.

Beliau memberitahu, di Sarawak sebuah sekolah telah dibina menggunakan kaedah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu, Sebu-yau yang terbakar tahun lalu.

“Saya percaya pendekatan kerajaan membina sekolah ‘kabin’ dapat membantu dengan segera sekolah-sekolah yang mengalami malapetaka,” katanya.

DERITA SK SEPUPOK NIAH


Penderitaan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok yang terpaksa berebut kolam dengan rumput sejak 35 tahun lalu akhirnya mendapat maklum balas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kementerian itu dalam kenyataan ringkas yang diemelkan kepada penulis hari ini memberitahu, sekolah tersebut telah disenarai pendek dan dimasukkan ke dalam Projek Bekalan Air Bersih Sekolah-Sekolah Luar Bandar.

Pegawai dari Unit Komunikasi Korporat KPM, Emerly Clarice Joannes berkata, satu telah pun dijalankan ke atas sekolah bagi mengenalpasti tindakan dan perkhidmatan yang akan dibekalkan kajian telah pun dijalankan.

“Jika tiada sebarang masalah dan halangan, projek bekalan air bersih ke SK Rancangan Sepupok ini dijangka akan dilaksanakan pada 2011 akan datang,” katanya.

Sebelum ini, media cetak dan internet mendedahkan penderitaan murid-murid sekolah yang terpaksa membuang rumput setiap hari sebelum mandi dan menggosok gigi.

Selain ditumbuhi rumput alga, air kolam yang berwarna kehijauan dan berbau hanyir itu juga turut menyebabkan Jimba mengalami gatal-gatal kulit kerana menggunakan air yang tercemar dan kotor.

Walaupun terletak kira-kira 3.5 km dari pekan Batu Niah, namun apa yang menyedihkan sekolah itu tidak pernah menerima bekalan air paip sejak ia dibina 35 tahun lalu.

Kolam yang lebih besar di sekolah itu terpaksa ditutup kerana pencemaran kumbahan najis manusia, menyebabkan semua murid di situ terpaksa menggunakan sebuah lagi kolam berhampiran yang lebih kecil.

Namun kolam tersebut terpaksa dihadkan penggunaannya kerana ibu bapa mendakwa pernah melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam, menyebabkan murid sekolah terpaksa mandi di tebing kolam yang airnya keruh dan hitam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Napi Madang, 48, berkata, walaupun negara sudah lama merdeka namun murid-murid dan guru-guru di sekolah itu masih belum lagi merasai buah kemerdekaan itu.

“Mereka masih bergantung kepada air kolam yang berwarna hijau dan air hujan untuk mandi, memberus gigi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk,” katanya.

Katanya, rumput alga yang tumbuh di dalam kolam itu sukar untuk dihapuskan dan ada di antara murid mengalami gatal-gatal kulit kerana rumput dan air kolam yang kotor.

Mengulas maklumbalas KPM itu, Napi berharap ia bukan sekadar janji manis menjelang pilihan raya akan datang.
“Kita berharap projek penyambungan bekalan air bersih itu ditunaikan seperti apa yang dijanjikan. Kita harap ini akan menjadi kenyataan memandangkan hampir empat dekad kita sudah menunggu,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan telah dicadangkan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dianggarkan bernilai RM5 juta, bagaimanapun projek tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kita menyeru selepas ini, projek itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana murid-murid di situ sudah lama menderita,” katanya.

sumber:SARAWAKUPDATE.COM

Bayi didera bapa, ibu beransur pulih


ROSNAH melawat Muhammad Al-Faiz di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki empat bulan yang cedera parah dan koma dipercayai akibat didera bapa dan ibunya di rumah mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini, kini beransur pulih selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak 11 Mac lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata bayi malang itu, Mohammad Al-Faiz mengalami pendarahan dalam otak dan menjalani pembedahan di kepala sebaik dirujuk ke HKL dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada kecederaan atau penyakit lain yang dihidapi bayi itu. “Muhammad Al-Faiz yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sudah beransur pulih daripada kecederaan awal dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Dia dapat bertindak balas dengan baik dan dijangka dalam masa seminggu dua ini bantuan pernafasannya boleh dibuka dan ditempatkan di wad biasa,” katanya selepas melawat ba-
yi itu di HKL di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain; Ketua Jabatan Institut Pediatrik, Dr Hussain Iman Muhd Ismail dan Ketua Jabatan Neurosurgeri, Dr Mohd Saffari Mohd Haspani.
Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno turut meluangkan masa hampir sejam melawat pesakit kanak-kanak lain di institut berkenaan.

Ketika ditanya mengenai usaha yang akan dilakukan untuk membantu Mohammad Al- Faiz, Rosnah berkata ia bergantung kepada hasil siasatan polis.

“Apa yang penting, kita perlu menjaga kebajikan bayi ini terlebih dulu dan kita beri kepercayaan kepada polis untuk mengendalikan kes ini,” katanya.

Sementara itu, Rosnah menggesa pergerakan Puteri di seluruh negara mengambil inisiatif menjadikan wad kanak-kanak atau Institut Pediatrik di tempat mereka sebagai ‘anak angkat’ dengan menyediakan program bermanfaat secara sukarela.

Murid diguna jadi benteng elak setinggan diroboh


KUMPULAN anak penduduk yang berpakaian seragam sekolah bertindak membentuk benteng manusia bagi menghalang pihak berkuasa memasuki penempatan berkenaan di Kampung Denai Pinggiran, Kempas, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Kerja merobohkan 12 rumah setinggan di Kampung Denai Pinggiran, Kempas, di sini awal pagi semalam, bertukar menjadi kecoh apabila kira-kira 20 anak penduduk yang memakai pakaian seragam sekolah rendah bertindak membentuk benteng manusia bagi menghalang pihak berkuasa memasuki penempatan berkenaan.

Penduduk terbabit mula berkumpul sejak jam 8 pagi, selepas mendapat maklumat pasukan meroboh rumah setinggan berkenaan terdiri daripada Pejabat Tanah dan Galian daerah, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

NAJIB menaiki papan lungsur sebagai gimik perasmian pada pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara dan HSBB di Dataran Merdeka, malam tadi. Turut hadir, Muhyiddin, Rais, Dr Halim (kiri); KSU KPKK, Kamaruddin Siaraf (tiga dari kanan); Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli (dua dari kanan) dan Zamzamzairani.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju.
Perdana Menteri berkata, langkah itu mampu menjadikan Malaysia negara abad ke-21 kerana perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi negara. Insentif yang diumumkan sempena majlis pelancaran NBI dan HSBB di Dataran Merdeka adalah:


•Pelaksanaan pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) ke rumah yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 isi rumah di 246 lokasi membabitkan peruntukan RM60 juta;


•Penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberikan liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna;


•e-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim di 1,105 mukim di seluruh negara membabitkan peruntukan RM40 juta dan

•Liputan selular awam di 873 menara baru telekomunikasi yang akan dibina di seluruh negara termasuk 278 di Sabah dan 257 di Sarawak.

Selain itu, katanya, sebagai tambahan kepada insentif berkenaan, RM1 bilion akan digunakan daripada Dana Khidmat Sejagat (UPS) dengan persetujuan penyedia perkhidmatan untuk digunakan bagi mengagihkan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Katanya, pembahagian komputer riba itu akan dirunding dengan Kementerian Pelajaran dan menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ini.

“Telekom Malaysia (TM) juga bersetuju memperkenalkan pakej jalur lebar berserta rangkaian dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38 manakala kawasan Penyedia Perkhidmatan Universal (USP), jumlahnya dikurangkan lagi kepada RM20,” katanya.

Hadir sama, Muhyiddin; Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Dr Rais Yatim, Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM), Datuk Dr Halim Shafie; Ketua Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.

Sementara itu, ketika sesi sidang video dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin kaum di kawasan Kota Samarahan selepas pelancaran NBI dan HSBB, Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan berusaha menyegerakan lagi pembangunan di Sarawak.

Najib berkata, adalah jelas melalui perkara yang dibangkitkan rakyat Sarawak mahukan pembangunan di negeri itu disegerakan.

"Kita akan cuba segerakan lagi pembangunan untuk Sarawak," katanya.
Antara yang terbabit dalam sesi itu di Kota Samarahan ialah pemimpin kaum Iban, Bidayuh, Cina, Melayu, Melanau dan wakil pelajar.

Najib berkata adalah jelas penduduk di Sarawak mahu sama-sama untuk bergerak dalam dunia IT.

"Kita akan segerakan dan mempercepatkan pembangunan IT (teknologi maklumat) di seluruh Sarawak," katanya.

Tuesday, March 23, 2010

PENGHARGAAN GB


Tahniah dan dengan bangganya diucapkan kepada Unit ICT Sek.Keb.Kampung Baru si-Rusa kerana berjaya mewujudkan laman blog rasmi sekolah ini.
Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru dan murid yang menyumbang bahan untuk dimuatkan dalam laman blog ini. Diharap dengan wujudnya laman blog ini dapat mempertingkatkan dan memperkasakan budaya celik IT warga Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si-Rusa. Pihak luar juga diharapkan mendapat manfaat daripada laman blog ini terutamanya para ibubapa untuk mengetahui perkembangan serta kemajuan sekolah. kejayaan Unit ICT Sekolah terletak pada keazaman "Cikgu Z" dan sokongan padu daripada semua warga SK Kampung Baru Si-Rusa yang sentiasa ingin menguasai dan mencintai ilmu. Harapan saya supaya blog ini sentiasa dikemaskini secara berkala mengikut perancangan .

Sekian terima kasih.


Hjh.Siti Mariam Binti Bidin
Guru Besar
Sk Kampung BAru Si -Rusa
Port Dickson

VISI

SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG

PENAFIAN



Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang artikal ,kehilangan atau kerosakan yang dialami ketika melayari atau mengambil maklumat dari laman blog ini.

SEJARAH PORT DICKSON




Port Dickson mendapat nama dari pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19. Sebelum tempat ini dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di teluk kecil. Orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang atau Arang oleh kerana berhampiran dengan teluk tersebut terletak sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arangnya dan membekalkannya kepada kawasan berhampiran.

Setelah menyedari Arang mencapai kemajuan yang pesat sebagai kawasan perindustrian dan Tanjung sebagai kawasan bandar yang membangun dengan cepatnya, Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu Selat, Sir John Frederick Dickson, terus mewartakan supaya Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan juga menjadikannya sebagai tempat istirehat untuk pegawai dan peladang British.

Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China. Aktiviti perdagangan yang sibuk antara peniaga dua negara tersebut menonjolkan Selat Melaka sebagai satu tempat perhentian yang sesuai dan praktikal kerana kedudukannya di pertengahan perjalanan bagi saudagar-saudagar kapal itu.

Bagi melengkapi keberkesanan pelabuhan baru ini, berikutnya pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Pelan yang dirangka membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong.

Lagipun, telah dipastikan bahawa landasan kereta api dan pelabuhan laut dalam memainkan peranan penting untuk mengembangkan perdagangan untuk mengeksport timah dari lombong di Sungai Ujong. Untuk memudahkan pembinaan landasan ini, pihak British membawa masuk tenaga buruh dari India. Dengan usaha yang gigih maka landasan itu telah siap dan dirasmikan oleh Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu, Sir John Frederick Dickson. Dengan perasmian landasan kereta api itu, pihak British juga telah menukarkan nama tempat tersebut dari Tanjung menjadi Port Dickson. Sejak dari itu, nama itu telah menjadi sebutan orang ramai di Malaysia malah seluluruh dunia.

Sejak mula beroperasi sebagai pelabuhan laut dalam, Port Dickson telah mencapai kejayaan yang cemerlang. Pada tahun 1893 sahaja 600 kapal dari Singapura dan Port Klang berlabuh di Port Dickson memunggah muatan kapal dan kemudian mengangkutnya dengan keretapi ke Sungai Ujong. Pembangunan yang pesat, aktiviti pelabuhan yang sibuk dan bertambahnya jumlah pengangkutan barang-barang dari dalam dan luar Port Dickson, satu pusat pemeriksaan Kastam dan Imigresen ditubuhkan pada tahun 1894.

Kejayaan pelabuhan ini juga membawa kepada beberapa pembaharuan kepada pusat bandarnya. Bangunan-bangunan kedai papan telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan kedai batu. Kira-kira 45 bangunan kedai batu telah didirikan sementara permohonan juga diterima untuk tapak tanah kosong disepanjang pantai.

Perkembangan yang membawa perubahan Port Dickson itu menarik perhatian ramai yang membuat keputusan untuk menjadikan Port Dickson tempat penginapan atau dagangan mereka yang mengakibatkan pertambahan penduduk.

Kegiatan ekonomi yang dijalankan terus pesat berkembang luas sejajar dengan pertumbuhan penduduk di Port Dickson. Kemunculan gergasi minyak tidak boleh diperkecilkan. Dalam tahun 1901, Syarikat Shell Petrol and Trading telah mendirikan kilang penapisan minyak bagi menampung pengeluaran sebanyak 700 liter tan minyak. Kesan pembangunan yang sangat pesat itu telah menjadikan Port Dickson semakin terkenal.

Menjelang tahun 1902, Port Dickson telah pun dikenali ramai kerana stesen kereta apinya di Selatan Semenanjung serta kemunculannya sebagai pelabuhan terunggul. Sistem pengangkutan melalui kereta api dan jalan raya telah mendatangkan faedah kepada syarikat multinasional seperti Shell.

Pada tahun 1933, Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kemah Angkatan Tentera Melayu dan juga Maktab Tentera Perseketuan. Dalam tahun 1964, Esso pula membuka kilang penapisannya dan pada tahun 1965, Port Dickson telah dijadikan pusat menjana elektrik negara dengan terdirinya Stesen Janalektrik Tuanku Jaafar. Stesen ini telah membekalkan keperluan elektrik kepada hampir separuh Semenanjung Malaysia ketika itu.


Port Dickson sekitar tahun 1960 an




Jam Besar dan banggunan Pejabat Pos telah tiada lagi akibat pelebaran jalan


Deretan kedai yang masih ujud menghala ke jeti



Pandangan dari Pejabat Kastam yang ada sekarang


Kawasan dimana sekarang ini dijadikan medan selera tepi jeti





Sekarang tempat ini didirikan restoran nelayan dan pangkalan nelayan


Deretan Visel (Kotak Nelayan)dihadapan deretan banggunan Maybank,sebelah hujung sudut
adalah hentian bas dan kelihatan juga sebelahnya medan selera sekarang telah dijadikan Bus stand.

Monday, March 22, 2010

jadualpepptk2010
Sukatan Penolong Kanan ran - DG44, DGA32
Sukatan Penolong Kanan Kokurikulum - DG44, DGA32
Sukatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid - DG44, DGA32
Sukatan Guru Pendidikan Khas - DG44, DG41, DGA32, DGA29
Sukatan Guru Bimbingan & Kaunseling - DGA32, DGA29
Sukatan Guru Besar - DG44, DG41, DGA32
Generik Kumpulan Profesional
Sukatan Guru Mata Pelajaran - DG44, DG41, DGA32, DGA29, DG27, DG17

MELONJAKKAN KECEMERLANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN

2007ppp_10_bab9[1]Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

MERAPATKAN JURANG PENDIDIKAN

2007ppp 8 Bab7[1]Merapatkan Jurang Pendidikan

MEMPERKASAKAN SEKOLAH KEBANGSAAN

Pipp Bab6 10[1]Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

MEMBANGUNKAN MODAL INSAN

Moe Pipp 05[1]Membangunkan Modal Insan

MEMBINA NEGARA BANGSA

2007ppp 5 Bab4[1]Membina Negara Bangsa

MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

2007ppp 9 Bab8[1]Martabatkan Keguruan

Sunday, March 21, 2010

KEMENTERIAN KAJI AKTIVITI ELAK PELAJAR PONTENG

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelajaran sedang mengkaji aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah untuk murid dan pelajar selepas tamat menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak mereka ponteng sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah ini perlu dilaksanakan untuk mengatasi gejala ponteng sekolah khususnya di kalangan mereka yang selesai menduduki peperiksaan itu.

"Antara faktor ponteng ialah apabila selesai peperiksaan (mereka) kena ada di sekolah, ini menyebabkan para pelajar bosan kerana tiada apa nak belajar... jadi mereka ponteng," katanya menjawab soalan tambahan Senator Zamri Yusof pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Beliau berkata kementerian juga melaksanakan Program Piawaian Keselamatan Sekolah yang memberi tumpuan kepada lima aspek termasuk pengurusan aktiviti murid, pengurusan keselamatan dalam menangani gejala sosial dan pengurusan keselamatan dalam menghadapi krisis dan bencana.

"Dengan adanya program ini, kita harap dapat mengenali apakah aktiviti sesuai kepada pelajar yang sedang tunggu keputusan peperiksaan tetapi diwajibkan berada di sekolah.

"Mungkin akan diadakan program motivasi, perkhemahan atau yang melibatkan aktiviti berkumpulan dan pertandingan. Ini akan mengelak murid bosan dan guru pun tidak bosan kerana tiada apa yang perlu diajar," katanya.

Ketika menjawab soalan asal daripada Senator Wan Ramlah Wan Ahmad mengenai kajian terperinci untuk mengetahui punca kegiatan ponteng sekolah yang masih berlaku walaupun pelbagai program diperkenalkan, Mohd Puad berkata kementerian bersetuju agar pendekatan secara holistik digunakan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

"Ini disebabkan faktor yang mempengaruhi salah laku itu adalah pelbagai dan tidak hanya berpunca daripada sekolah sahaja. Mengenai kes ponteng, kementerian mendapati peratus kes itu semakin menurun," katanya.

Sumber: BERNAMA

KEMENTERIAN TANGGUNG KOS GURU HADAPI SAMAN

IPOH, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan menanggung kos guaman dua guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang disaman keluarga tiga pelajar yang maut akibat tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang dekat sini 26 Okt lepas.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kedua-dua guru besar terbabit tidak perlu bimbang dalam menghadapi proses perundangan itu kerana kementerian akan membantu daripada segi kos peguam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita khamis selepas mengadakan perjumpaan dengan semua guru terbabit dalam program perkhemahan yang dianjurkan semasa tragedi itu.

Mohd Puad berkata beliau akan bertemu dengan semua guru terbabit dari semasa ke semasa bagi memberi perangsang kepada mereka yang masih tertekan dengan kejadian itu.

Beliau berkata tiga guru turut dipindahkan ke sekolah lain baru-baru ini kerana menghadapi trauma ekoran kejadian itu termasuk diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada 20 Nov lepas, bapa kepada tiga pelajar perempuan yang lemas akibat jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K.Mageswaran, K.Vasudevan dan T. Nathan menamakan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, gurubesar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang sebagai defendan.

Pihak lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Struktur pengurusan sukan sekolah dirombak

Kementerian Pelajaran akan merombak struktur pengurusan sukan di sekolah-sekolah dengan menubuhkan satu bahagian baru yang khusus untuk memperkasakan aktiviti bidang itu di kalangan pelajar.





Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui langkah itu, sukan yang sebelum ini diletakkan bersama aktiviti seni dan kokurikulum akan diasingkan. Menurutnya, perubahan itu sejajar dengan langkah terbaru kerajaan menetapkan dasar ‘satu pelajar satu sukan’ iaitu mewajibkan setiap pelajar sekurangnya-kurangnya aktif dalam satu jenis sukan.

Kita sudah bincangkan perkara ini dalam satu jawatankuasa ad-hoc bersama-sama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum dan kita putuskan supaya satu bahagian baru diwujudkan. Ia tidak lagi disatukan dengan kegiatan seni dan kokurikulum dan disebabkan itu tumpuan dapat diberikan kepada bidang sukan, katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kementerian tersebut akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan. Selaras dasar baru itu, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. Kementerian turut menimbangkan untuk memberikan elaun kepada tenaga pengajar sukan dari badan-badan dan persatuan sukan yang dapat membantu pihak sekolah. ‘‘Kita boleh buat ikatan hubungan strategik dengan badan-badan sukan kerana ketika ini jumlah guru sukan masih belum mencukupi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa bidang sukan seharusnya tidak lagi dilihat sekadar kegiatan kokurikulum sebaliknya sebagai satu bentuk kurikulum yang perlu ditekankan di sekolah-sekolah. Sukan boleh menjadi satu komponen yang bukan setakat satu bentuk aktiviti malah dapat membentuk hubungan kemanusiaan dan ia merentasi soal ras serta kaum.

sumber maklumat : Utusan Malaysia

Disiplin Pelajar sekolah semakin merosot

PENGENALAN


Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, “ Buli gugat semangat belajar ” dan “ Kerjasama penting bagi banteras gangsterisme”. Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada akhbar-akhbar tempatan pada masa kini. Berita-berita seperti ini membayangkan kemerosotan disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata.

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali ‘Black Metal’. Hakikatnya jelas dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.

PONTENG SEKOLAH
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai “ cendawan tumbuh selepas hujan ” walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.
Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi). Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.


KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH
Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap didefinisikan sebagai “Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah”.
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata;
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi." (Utusan Malaysia 20 Feb 97)


Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.
Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan.
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas.
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu:
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging”, dikagumi dan kekuasaan.
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.



KESAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah.


Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah:
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam.
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh.

CADANGAN
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini.
2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya.
3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling – Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara pada masa akan datang.
4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur.
5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.
PENUTUP
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.


Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.

LinkWithin