Dunia Seni Visual Kurikulum Standard Sekolah Rendah (
KSSR )
Objektif Tahunan
Setelah mengikuti Kurikulum
Seni Visual sekolah rendah murid dapat:
1. menghargai keindahan alam
cipaan Tuhan
2. melibatkan diri dalam
kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan
3. menajamkan daya imaginasi
melalui pancaindera
4. mengenali asas seni reka
dan olahan serta dapat menggunakannya
5. mengembangkan kemahiran
asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
6. membiasakan diri membuat
rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat
7. memupuk nilai-nilai
kerjasama, yakin diri, disiplin diri, dan bertanggungjawab
8. mengenal dan menghargai
tokoh seni dan budaya tanah air
9. melibatkan diri dalam
kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.
Pengenalan PSV
PENDAHULUAN
Pendidikan Seni Visual menggantikan
nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai
kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus
kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni
muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni
Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang
keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan
alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah
rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni
Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual,
imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk
dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan
ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina
keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.
Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang
bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan
pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran befikir secara
kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman
pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat
analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri.
Pendidikan seni visual sekolah rendah Setiap murid mempunyai pelbagai
kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel.
Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan
mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan
pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.
MATLAMAT
Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni
Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis,
kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum
berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
OBJEKTIF
Setelah
mengikuti Kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid boleh:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan
menyeronokkan,
3. menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera,
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya,
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat,
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan
bertanggungjawab,
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air,
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual, dan
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan
yang berfaedah.
ORGANISASI KURIKULUM
Sukatan pelajaran Pendidikan Seni
Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai
kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama.
Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan,
membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni
ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual
murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman
ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid
dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan,
koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni
Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan
kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan
mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni.
Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran,
kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual,
proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi,
mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual.
Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran
memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual,
berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat
pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
a.
pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
a. Pemerhatian secara aktif
Pemerhatian
secara aktif
yang
merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat
menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga
melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini
membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual
juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih
membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah
untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental.
Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan
alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Peringkat
ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan
kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan
memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung
dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi
dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi
visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting
kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid
juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni
di masa akan datang.
Apresiasi seni visual secara mudah
Apresiasi seni visual memberi
pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya
dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid
terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek
seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat
dalam pendidikan seni visual sekolah rendah.
Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain diberi
pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai
menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan
kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai
patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat
pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.