Wednesday, March 24, 2010
DERITA SK SEPUPOK NIAH
Penderitaan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok yang terpaksa berebut kolam dengan rumput sejak 35 tahun lalu akhirnya mendapat maklum balas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Kementerian itu dalam kenyataan ringkas yang diemelkan kepada penulis hari ini memberitahu, sekolah tersebut telah disenarai pendek dan dimasukkan ke dalam Projek Bekalan Air Bersih Sekolah-Sekolah Luar Bandar.
Pegawai dari Unit Komunikasi Korporat KPM, Emerly Clarice Joannes berkata, satu telah pun dijalankan ke atas sekolah bagi mengenalpasti tindakan dan perkhidmatan yang akan dibekalkan kajian telah pun dijalankan.
“Jika tiada sebarang masalah dan halangan, projek bekalan air bersih ke SK Rancangan Sepupok ini dijangka akan dilaksanakan pada 2011 akan datang,” katanya.
Sebelum ini, media cetak dan internet mendedahkan penderitaan murid-murid sekolah yang terpaksa membuang rumput setiap hari sebelum mandi dan menggosok gigi.
Selain ditumbuhi rumput alga, air kolam yang berwarna kehijauan dan berbau hanyir itu juga turut menyebabkan Jimba mengalami gatal-gatal kulit kerana menggunakan air yang tercemar dan kotor.
Walaupun terletak kira-kira 3.5 km dari pekan Batu Niah, namun apa yang menyedihkan sekolah itu tidak pernah menerima bekalan air paip sejak ia dibina 35 tahun lalu.
Kolam yang lebih besar di sekolah itu terpaksa ditutup kerana pencemaran kumbahan najis manusia, menyebabkan semua murid di situ terpaksa menggunakan sebuah lagi kolam berhampiran yang lebih kecil.
Namun kolam tersebut terpaksa dihadkan penggunaannya kerana ibu bapa mendakwa pernah melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam, menyebabkan murid sekolah terpaksa mandi di tebing kolam yang airnya keruh dan hitam.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Napi Madang, 48, berkata, walaupun negara sudah lama merdeka namun murid-murid dan guru-guru di sekolah itu masih belum lagi merasai buah kemerdekaan itu.
“Mereka masih bergantung kepada air kolam yang berwarna hijau dan air hujan untuk mandi, memberus gigi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk,” katanya.
Katanya, rumput alga yang tumbuh di dalam kolam itu sukar untuk dihapuskan dan ada di antara murid mengalami gatal-gatal kulit kerana rumput dan air kolam yang kotor.
Mengulas maklumbalas KPM itu, Napi berharap ia bukan sekadar janji manis menjelang pilihan raya akan datang.
“Kita berharap projek penyambungan bekalan air bersih itu ditunaikan seperti apa yang dijanjikan. Kita harap ini akan menjadi kenyataan memandangkan hampir empat dekad kita sudah menunggu,” katanya.
Menurutnya, projek berkenaan telah dicadangkan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dianggarkan bernilai RM5 juta, bagaimanapun projek tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Kita menyeru selepas ini, projek itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana murid-murid di situ sudah lama menderita,” katanya.
sumber:SARAWAKUPDATE.COM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
PANDANGAN ANDA...