Sunday, March 21, 2010

Struktur pengurusan sukan sekolah dirombak

Kementerian Pelajaran akan merombak struktur pengurusan sukan di sekolah-sekolah dengan menubuhkan satu bahagian baru yang khusus untuk memperkasakan aktiviti bidang itu di kalangan pelajar.





Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui langkah itu, sukan yang sebelum ini diletakkan bersama aktiviti seni dan kokurikulum akan diasingkan. Menurutnya, perubahan itu sejajar dengan langkah terbaru kerajaan menetapkan dasar ‘satu pelajar satu sukan’ iaitu mewajibkan setiap pelajar sekurangnya-kurangnya aktif dalam satu jenis sukan.

Kita sudah bincangkan perkara ini dalam satu jawatankuasa ad-hoc bersama-sama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum dan kita putuskan supaya satu bahagian baru diwujudkan. Ia tidak lagi disatukan dengan kegiatan seni dan kokurikulum dan disebabkan itu tumpuan dapat diberikan kepada bidang sukan, katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kementerian tersebut akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan. Selaras dasar baru itu, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. Kementerian turut menimbangkan untuk memberikan elaun kepada tenaga pengajar sukan dari badan-badan dan persatuan sukan yang dapat membantu pihak sekolah. ‘‘Kita boleh buat ikatan hubungan strategik dengan badan-badan sukan kerana ketika ini jumlah guru sukan masih belum mencukupi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa bidang sukan seharusnya tidak lagi dilihat sekadar kegiatan kokurikulum sebaliknya sebagai satu bentuk kurikulum yang perlu ditekankan di sekolah-sekolah. Sukan boleh menjadi satu komponen yang bukan setakat satu bentuk aktiviti malah dapat membentuk hubungan kemanusiaan dan ia merentasi soal ras serta kaum.

sumber maklumat : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin