Sunday, March 21, 2010

Masyarakat muafakat akademik meningkat

PEMIMPIN masyarakat dan kepimpinan sekolah disaran memainkan peranan bersama-sama mencari pendekatan serta kaedah terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak-anak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip berkata, kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menjalin hubungan dan kerjasama dengan pihak sekolah bagi menjalankan program bersama demi kecemerlangan murid di kawasan itu.

Menurut beliau, Majlis Permuafakatan Pendidikan (MPP) merupakan satu platform untuk menyemarak dan merencana program berbentuk pendidikan di daerah Alor Gajah, Melaka.

“Melalui majlis ini, segala bentuk program pendidikan dapat disatukan di peringkat DUN dan dapat dijalankan bersama-sama,” jelas bekas guru ini.

Hal ini kerana MPP dianggotai oleh kepimpinan di semua peringkat iaitu Pengetua, guru besar, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, pegawai Japerun, wakil Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat pelajaran Daerah (PPD), Alor Gajah.

Di samping itu, ujar Ab. Wahab, guru juga dapat bertukar-tukar buah fikiran dan berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing melalui MPP bagi meningkatkan mutu pendidikan ke tahap yang tertinggi.

Dalam pada itu, perkongsian pintar dengan UTeM di bawah kepimpinan Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusuff Hassan, banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Kepakaran UTeM boleh membantu melonjakkan prestasi akademik murid dan juga kemajuan ekonomi di daerah ini,” kata Ab. Wahab.

Di samping itu, kerjasama ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kepimpinan dan staf universiti dengan masyarakat setempat.

Tambahnya lagi, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksana pada tahun ini seperti Program Motivasi Kecemerlangan UPSR DUN Durian Tunggal bersama UTeM pada hujung Januari lalu, Program Kelas Bimbingan bermula Februari, Program Lawatan Penanda Aras ke sekolah-sekolah cemerlang pada April, sambutan Hari Guru peringkat DUN pada Jun, dan program kemasyarakatan bersama UTeM, pihak sekolah, masyarakat setempat dan NGO pada hujung tahun ini.

Pada majlis itu, beliau turut menghulurkan sumbangan wang sebanyak RM2000 kepada setiap sekolah di DUN Durian Tunggal untuk menjalankan aktiviti pendidikan di sekolah masing-masing.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, Safiah Syarif berkata langkah penubuhan MPP ini amatlah dialu-alukan kerana membuka ruang untuk pihak sekolah mengemukakan cadangan dan pandangan demi kemajuan murid di situ.

Selain itu, katanya, segala permasalahan berkaitan pelajar di sekolah dapat dibincangkan bersama-sama kepimpinan masyarakat dan dapat mengatasinya secara sepakat.

Manakala Pengerusi JKKK Kampung Panchor, Borhan Maaras berpendapat, penubuhan majlis permuafakatan ini amat baik kerana memudahkan segala perancangan atau menyelesaikan segala permasalahan berkaitan anak-anak di sekolah dengan lebih berkesan,

kerana di sini kita dapat berbincang dan merancang program pendidikan bersama-sama dan menyelesaikan segala permasalahan berbangkit berkaitan anak-anak di sekolah dengan lebih berkesan lagi.



sumber maklumat : Portal pendidikan Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin