Friday, August 20, 2010

Sukan Sekolah Diperkasa 2011


Kegiatan jadi bahagian khusus, dipisahkan daripada seni, kokurikulum

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam memutuskan pelaksanaan beberapa langkah bagi memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah mulai tahun depan, termasuk memberi lima daripada 10 peratus markah yang diperuntukkan untuk kokurikulum.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara lain yang diputuskan ialah menjadikan kegiatan sukan sebagai satu bahagian khusus yang mempunyai pengarah dan timbalan pengarah yang akan dilantik seramai empat orang, di samping memisahkan bahagian sukan yang sebelum ini dicantum dengan seni dan kokurikulum. “Selain itu, kerajaan juga memutuskan bahawa pemarkahan kepada pelajar yang menyertai aktiviti sukan adalah lima peratus berbanding 10 peratus yang diperuntukkan di bawah aktiviti kokurikulum sebelum ini yang tidak memberikan sebarang penekanan terhadap sukan.

“Sebelum ini, kegiatan kokurikulum sukan tidak diberi penekanan di sekolah. Bermula tahun depan, dasar 1Murid 1Sukan akan dikuatkuasakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan Sekolah di Bangunan Parlimen.

Muhyiddin berkata, turut diputuskan ialah penambahan tenaga kerja seperti guru khas untuk melaksanakan pembangunan sukan di sekolah yang akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, peruntukan untuk aktiviti sukan juga akan ditambah bagi setiap pelajar iaitu RM4 bagi pelajar sekolah rendah dan RM6 untuk pelajar sekolah menengah, berbanding peruntukan RM2.40 bagi setiap pelajar sebelum ini.
“Kementerian juga akan mengambil langkah untuk menambah jadual kokurikulum dan ia akan susun balik, kalau boleh sukan itu diajar dalam jadual waktu persekolahan, jadi pelajar tidak perlu pulang,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, langkah itu perlu dilakukan tanpa menjejaskan waktu pembelajaran akademik dan tidak membabitkan keperluan untuk memanjangkan waktu persekolahan.

“Cara ini untuk menggalakkan pembangunan sukan di sekolah, bukannya nak tumpu untuk lahirkan atlit, tetapi jika nak majukan sukan di sekolah, mesti dapat mengenal pasti bakat yang boleh diketengahkan menerusi Majlis Sukan Negara, tapi sasaran kementerian ialah pembabitan pelajar dalam bidang pasukan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung dasar pendidikan seks di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai pakar dalam bidang pendidikan seks, biologi dan hal yang berkaitan.

“Mungkin kita boleh mengambil sedikit contoh daripada apa yang berlaku di setengah negara yang sudah memperkenalkan (dasar ini) dan juga pakar yang ada di kementerian,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu pendidikan seks di sekolah sudah dibincangkan oleh banyak pihak.

“Cuma kementerian yang belum lagi membuat keputusan kerana kita faham yang ia adalah suatu perkara yang agak besar dan dinanti bukan saja oleh kementerian tetapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, ia adalah satu perkara yang perlu kita halusi semasak-masaknya.

“Jadi, saya bercadang untuk menubuh satu jawatankuasa untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang setakat ini (hanya menyuarakannya) kepada media saja, ada pakar kata bagus, ada yang kata tak bagus, ada yang kata sudah sampai masanya,” katanya.

SUMBER: Berita Harian Online
Oleh Anwar Hussin, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Sunday, August 15, 2010

Azab Tidak Berpuasa


Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a, berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

“Ketika aku sedang tidur, datanglah dua orang lelaki kemudian memegang lenganku, lalu membawaku ke satu gunung yang kasar (tidak rata), keduanya berkata, “Naik”. Aku katakan, “Aku tidak mampu”. Keduanya berkata, ‘Kami akan memudahkanmu’. Akupun naik hingga sampai ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Akupun bertanya, ‘Suara apakah ini?’. Mereka berkata, ‘Ini adalah teriakan penghuni neraka’. Kemudian keduanya membawaku, ketika itu aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya, ‘Siapa mereka?’ Keduanya menjawab, ‘Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka (sebelum masuk waktu berbuka)”.

(Riwayat An-Nasa’i)


Ingatlah wahai murid-murid sekelian, meninggalkan puasa ramadhan dengan sengaja adalah berdosa besar jika tiada sebab yang diizinkan syarak. Pada hari ini azab memang tidak terasa atau dilihat sesiapa. Bagi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka akan sentiasa bersungguh-sungguh berpuasa dan berwaspada daripada mendapat kehinaan di Akhirat kelak.Dan ingatlah jua masa berbuka, bersabarlah sehingga benar-benar pasti masuk waktu berbuka. Wallahu a’lam

Allahumma inna nas-aluka ridhaka wal jannah……..amin

LinkWithin