Sunday, April 4, 2010

Pengenalan Program Linus dalam Tahun Satu


March 16th, 2010
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “BUNGAJAMBUL:BHA19471” dalam ruangan SMS dalam akhbar Berita Harian bertarikh 25 Februari 2010 – ‘Pengenalan Program Linus dalam Tahun Satu hanya akan menjadikan kurikulum tahun satu semakin bercelaru’.


Kementerian Pelajaran Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan tuan tentang pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (LINUS) Tahun Satu. Program LINUS merupakan salah satu daripada National Key Result Area (NKRA’s) Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui program ini, kementerian telah menyasarkan bahawa semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.


Program ini dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan murid Tahun Satu di sekolah rendah yang merupakan kohort pertama mengikuti program ini. Semua murid Tahun Satu akan menduduki ujian LINUS Saringan 1 pada awal tahun untuk menilai tahap penguasaan kemahiran asas literasi dan numerasi mereka. Murid yang dikenal pasti masih belum mencapai kemahiran asas literasi dan numerasi, akan diasingkan daripada murid arus perdana (dalam kumpulan tidak melebihi 30 orang). Mereka akan diajar insentif oleh guru LINUS (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap 1) serta dibantu oleh guru pemulihan khas LINUS dan dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu sedia ada. Murid yang berjaya dipulihkan melalui program ini, akan meneruskan pembelajaran di aliran perdana.


Pihak Kementerian Pelajaran telah merancang beberapa strategi untuk memastikan program LINUS ini dilaksanakan dengan baik dan tidak membebankan pihak sekolah. Antaranya memberi latihan khusus kepada guru LINUS dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk membantu murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi, menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap kebolehan murid, penambahan guru pemulihan khas, melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti, menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian serta menempatkan fasilitator LINUS di setiap Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru bagi memastikan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.


Diharap penjelasan dan penerangan ini boleh mengatasi keraguan tuan tentang pelaksanaan program ini.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia.
http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=731

1 comment:

  1. sangat menarik, jelas dan bermakna untuk dibuat pembacaan guru pemulihan.

    ReplyDelete

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin