Saturday, April 10, 2010

Murid Tahun 6 peserta termuda

KUALA LUMPUR: Seorang murid Tahun Enam , Nor Afifah Amirah Mukhtarudin, 12, menjadi peserta paling muda menyertai Peraduan Erti 1Malaysia anjuran Berita Harian dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) selama sebulan dari 1 Disember hingga 30 Disember lalu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh, Pulau Pinang itu menerima hadiah khas juri di atas semangat patriotisme tinggi yang ditunjukkan.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata penyertaannya dalam peraduan melengkapkan slogan khas tidak lebih 20 perkataan disertai secara rahsia tanpa memberitahu kepada ahli keluarga yang lain.

“Satu hari ketika membaca surat khabar Berita Harian, saya ternampak peraduan mencipta slogan mengenai erti 1Malaysia.

“Sebelum ini sekolah saya juga ada menganjurkan peraduan sebegini namun saya tidak berjaya memenanginya.

“Dari situ saya mengambil sedikit idea untuk mencipta slogan ini dan kedudukan pejabat pos yang berhadapan dengan sekolah memudahkan saya untuk menghantar peraduan ini,” katanya.
Nor Afifah Amirah berkata demikian selepas penyampaian hadiah oleh Ketua Penolong Setiausaha KPKK, Ariah Judah di Balai Berita di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Mahfar Ali; Pengarang Eksekutif Rencana BH, Norhayati Md Said dan Ketua Jabatan Pengedaran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Azman Che Chin.

Sementara itu, slogan ‘1 harapan, 1 kemahuan, 1 permintaan bagi menjanjikan pelbagai impian kepada semua rakyat Malaysia untuk berkhidmat dan berbakti ke atas negara tercinta’ yang dihantar Mohd Farid Hussin, 30, dipilih memenangi tempat pertama.

Kemenangan itu membolehkan kakitangan kerajaan dari Bandar Puncak Alam, Selangor, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

“Saya tidak menyangka sama sekali akan kemenangan ini. Malah, tujuan menyertai peraduan ini adalah semata-mata untuk berkongsi erti 1Malaysia dengan semua rakyat Malaysia terutamanya mereka yang masih belum memahami makna 1Malaysia,” katanya.

Turut diraikan pemenang tempat kedua, Khairi Sabrin Hood yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,500, ketiga Sharmila Chandran (RM1,500) dan seramai 30 peserta turut menerima hadiah sagu hati bernilai RM250 seorang.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin