Sunday, April 4, 2010

04 Nov - 4 sub NKRA pendidikan


KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan bagi melaksanakan perancangan pendidikan untuk tahun depan dan dalam



Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, empat sub-NKRA berkenaan ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkat kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Objektif yang perlu dicapai ialah memastikan murid mendapat pembelajaran optimum mengikut kemampuan mereka dan dapat memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat serta negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka peroleh,” katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, bagi menjayakan misi membangunkan model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi, aspek pembangunan modal insan akan dijadikan teras utama dalam perancangan pembangunan pendidikan sepanjang RMK-10.

Katanya, pembangunan modal insan akan dilaksanakan melalui pendekatan holistik merangkumi segala usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, membentuk individu intelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk sikap, nilai dan etika yang positif.

“Selaras matlamat melahirkan modal insan berkualiti tinggi, kerajaan memperuntukkan RM30 bilion bagi pendidikan rendah dan menengah tahun depan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5.5 juta murid.

Ia termasuk emolumen operasi pendidikan sebanyak RM19.6 bilion, program bantuan dan biasiswa pelajar (RM2.8 bilion), membina 80 sekolah baru, 1,100 blok tambahan dan 347 projek gantian (RM1.6 bilion) dan mengubah suai dan menaik taraf sekolah daif di seluruh negara (RM1.1 bilion).

Di SHAH ALAM, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mendapatkan maklumat prestasi kementerian berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada Jumaat ini.

Muhyiddin berkata, ia selaras komitmen Perdana Menteri yang tegas untuk mengubah kualiti hidup rakyat dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan sejak memegang jawatan itu April lalu.

“Kita tak boleh main-main... kena serius. Saya percaya kita nak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat.

“Kita lihat apa yang berlaku dalam parti pembangkang, sudah agak berkecamuk. Sebab itu ada wakil rakyat meninggalkan parti mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin