Wednesday, July 1, 2015

LAPORAN KARNIVAL BAHASA MELAYU DAERAH PORT DICKSON / 2015


LAPORAN KARNIVAL BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH
DAERAH PORT DICKSON / 2015.

Karnival Bahasa Melayu Sekolah Rendah Daerah Port Dickson / 2015 telah diadakan pada 25 April 2015 yang lalu di Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, 71960 Seremban. Pertandingan yang bermula pada 8.00 pagi ini menawarkan beberapa kategori pertandingan iaitu:

* Pertandingan Bahas
* Pertandingan Bercerita Tahap 1
* Pertandingan Bercerita Tahap 2
* Pertandingan Pidato 1 Malaysia
* Pertandingan Bicara Berirama

Namun begitu, Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, hanya mengambil bahagian dalam Pertandingan Bahas, Pertandingan Bercerita Tahap 2 dan Pertandingan Pidato 1 Malaysia sahaja.

Pertandingan Bahas peringkat awal telah diadakan pada 22 April 2015 ( Selasa ), Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa yang bertindak sebagai pencadang,  pada peringkat awalnya telah bertemu dengan pasukan Sekolah Kebangsaan Telok Kemang dan berjaya menewaskan SK Telok Kemang. SKKBSR kemudiannya, bertemu dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah pada peringkat separuh akhir. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi SKKBSR untuk ke peringkat akhir apabila cuma berjaya sebagai pemenang tempat ketiga bersama dengan pasukan dari Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam.

Pasukan Bahas SKKBSR yang dibimbing oleh Encik Yuslan Bin Ibrahim, membariskan empat orang peserta terdiri daripada :
1. Abdullah Muhsin Bin Hj. Ahmad Lutfi - 6 Arif
2. Nur Aliffah Binti Zuber                          - 5 Arif
3. Siti Asmaa' Binti Abdul Kadir                - 6 Arif
4. Nur Hajjarriah binti Mohamad                - 6 Arif






Kemuncak Karnival Bahasa Melayu ini diteruskan pada 25 April 2015. SKKBSR telah menghantar Adik Aleeya Sofea Binti Azhar dari kelas 5 Arif sebagai peserta Pertandingan Bercerita Tahap 2. Namun begitu,anak didik Pn. Halimah Binti Bahrum yang menyampaiakan cerita berjudul "Kuih Oh Kuih "ini tidak berjaya memenangi sebarang tempat utama dan cuma menerima sijil penyertaan sahaja.

Sementara itu, Adik Nurul Hazimah Binti Rahmat juga dari kelas 5 Arif terpilih mewakili SKKBSR sebagai peserta Pertandingan Pidato 1 Malaysia. Adik Nurul Hazimah yang mendapat sentuhan Pn. Hjh. Habsah Binti Ismail, menyampaikan pidato yang bertajuk "Rakyat Bersatu Negara Maju" telah berjaya mengalahkan 15 orang peserta lain yang datang dari setiap sekolah kebangsaan dalam Daerah Port Dickson dan dinobatkan sebagai johan daerah. Adik Nurul Hazimah kemudiannya diberi mandat untuk menggalas tanggung jawab sebagai wakil PPD Daerah Port Dickson ke Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Sembilan nanti.




Majlis Karnival Bahasa Melayu Sekolah Rendah Daerah Port Dickson / 2015 yang dirasmikan penutupannya oleh Puan Nor Zarina Binti Ismail, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, berakhir jam 2.30 petang,

1 comment:

PANDANGAN ANDA...

LinkWithin